Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), meletakkan impian tinggi apabila mensasarkan lapan pingat emas daripada 20 acara yang dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, optimis lapan pingat emas boleh digapai berdasarkan prestasi semasa pesilat-pesilat negara.

Walaupun sebelum ini hanya tiga emas sahaja mampu dimenangi di Sukan SEA Singapura, Megat menegaskan hanya tiga belas kategori itu dipertandingkan pada edisi dua tahun lalu.

Justeru, beliau melihat skuad silat berpeluang cerah untuk meraih lebih banyak emas di Kuala Lumpur.

"Pesaka tiada pilihan dalam mengumumkan sasaran itu kerana pesilat-pesilat perlu membuat persediaan.

"Suka atau tidak sebagai tuan rumah, kita tiada pilihan selain daripada memberikan yang terbaik," kata beliau.

Namun, Megat tidak menafikan bahawa beliau cukup bimbang dengan peningkatan negara lain, terutamanya Thailand yang semakin garang dalam dunia persilatan.

Beliau melihat strategi yang digunakan Thailand, cukup berbeza dan pesilat negara perlu bersedia dalam aspek mental.

Tambahnya, "Kebelakangan ini, Thailand tiba-tiba menjadi sebuah pasukan yang kuat.

"Ini kita perlu berikan perhatian."

Kontinjen silat negara kini dalam persiapan bersaing di Kejohanan Pencak Silat DUnia dari 2 hingga 8 Disember depan di Bali, Indonesia.