Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, berpuas hati dengan persediaan menghadapi temasya itu, Ogos depan.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah selepas tempoh 16 tahun di mana beberapa prasarana utama, termasuk Kompleks Sukan Negara, kini giat menjalani proses naik taraf.

"Semua perancangan berjalan dengan baik sekali dan kami di Sekretariat MASOC memang memantau secara terperinci supaya tidak menghadapi sebarang masalah yang besar.

"Bagi aspek sukan dan teknikal yang melibatkan 38 sukan untuk temasya Sukan SEA dan 16 sukan untuk Para ASEAN, kami juga telah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan yang terlibat secara terperinci," ujarnya.

Zolkples turut bertegas dalam memastikan temasya kali ini akan dianjurkan dengan berhemah.

"Saya akan memastikan segala peraturan harus kami ikuti kerana kos untuk mengelolakan temasya Sukan SEA ini tinggi dan kami sebagai agensi kerajaan mempunyai peraturan yang harus kami patuhi.

"Kami ada tatacara kewangan, arahan-arahan perbendaharaan, pekeliling dan sebagainya.

"Saya juga bercadang untuk mengadakan lagi perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membincangkan perkara yang sama supaya nanti kami tidak menghadapi sebarang masalah apabila selesai penganjuran.

"Saya dah janji dalam tempoh setahun, saya akan selesaikan segala penutupan akaun, laporan dan sebagainya.

"Jadi, ini yang penting."