Sukan SEA 2017: Mun Yee idam emas ke-16

Oleh Staff Writer 11 Disember 2016 13
Sukan SEA 2017: Mun Yee idam emas ke-16

Penerjun negara, Leong Mun Yee, masih dahagakan kejayaan di pentas Sukan SEA dan kali ini mengidam untuk menambah koleksi pingat emas menerusi acara seirama campuran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kali pertama Mun Yee beraksi di pentas Sukan SEA adalah 19 tahun lalu ketika di temasya Jakarta 1997.

Sejak itu, dia sudah berjaya meraih sebanyak 15 pingat emas sepanjang penyertaannya.

"Ia lebih sukar kerana pasangan saya merupakan lelaki, jadi terdapat perbezaan ketara dalam aspek kecergasan," jelas Mun Yee.

Bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Mun Yee akan membuat kelainan apabila akan beraksi dalam acara seirama campuran buat kali pertama dalam kariernya.

Pada masa sama, Mun Yee masih fokus terhadap acara kegemarannya, 10 meter platform seirama.

Bagaimanapun, dia menyerahkan perkara itu  kepada jurulatih, Yang Zhuliang, untuk menentukan gandingannya kerana sejak tiga edisi Sukan SEA yang lalu, dia berpasangan dengan penerjun berlainan.

"Kalau ikutkan, kualiti penerjun negara berada di tahap yang tertinggi di Asia Tenggara tetapi saya masih belum tahu siapakah pasangan saya," tambahnya.

Mun Yee dan barisan penerjun negara akan berlepas ke China untuk latihan intensif yang akan bermula Januari depan. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen