Pemain kriket remaja negara bakal menjadikan kempen Kejohanan Kriket Piala Asia Bawah 19 Tahun (B-19) di Sri Lanka sebagai medan untuk disenaraikan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pasukan remaja Malaysia layak selepas menjuarai Divisyen Dua, Kelayakan Piala Dunia Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) B-19 dengan menewaskan Singapura di Kuala Lumpur, Oktober lalu.

Menurut tonggak B-19 negara, Syed Aziz Syed Mubarak, dia bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 8 hingga 22 Disember itu nanti untuk usaha merebut tempat dalam skuad Sukan SEA.

Ini kerana acara kriket akan dipertandingkan buat julung kalinya dalam temasya dwi-tahunan itu.

"Kami akan membawa reputasi sebagai juara ICC B-19.

"Kejohanan ini akan menjadi pendedahan terbaik buat kami yang berkesempatan menguji pasukan gergasi kriket seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh untuk menimba pengalaman berguna.

"Saya harap dapat menggunakan peluang ini untuk terpilih dalam skuad Sukan SEA nanti," katanya yang mahu mengangkat martabat sukan kriket di Malaysia.

Tambahnya, skuad B-19 negara yang di bawah bimbingan bekas pemain kriket kebangsaan, Suresh Naravatnam, itu sudah menjalani latihan selama 10 hari di Johor sebagai persiapan untuk mengharungi suasana berbeza berbanding kebiasaannya, iaitu berlatih di Akademi Oval Kinrara.

Bagi rakan sepasukannya, Mohd Amir Azim, 15, dia berterima kasih kepada Persatuan Kriket Malaysia (PKM) kerana memastikan kebajikan pemain.

"Saya sudah mewakili pasukan remaja Malaysia sejak setahun lalu.

"Kami akan bertolak seminggu lebih awal ke Sri Lanka untuk tujuan pendedahan awal," katanya.

Skuad penuh 18 pemain B-19 negara akan memulakan latihan intensif pada awal Disember ini apabila sebahagian besar pemain selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Gambar hiasan