Malaysia bukan sahaja perlu mengelak aib gagal muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tetapi memastikan tidak terpalit dengan sebarang kes doping sebagai kontinjen tuan rumah.

Demikian pandangan Pengerusi Jawatankusa Perubatan dan Anti Doping, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr S. S. Chema.

Chema berasakan di sebalik arus skandal doping yang melanda sukan negara ketika ini, sebarang insiden dalam Sukan SEA tahun depan akan ibarat satu malapetaka.

“Kita adalah penganjur Sukan SEA. Kita tidak mampu untuk melakukan sebarang kesalahan. Jika atlet didapati menggunakan bahan terlarang, malu negara.

"Atlet harus diberikan amaran demi amaran mengenai perkara ini dan harus mengelak dengan sebaik mungkin daripada mendekati penggunaan bahan terlarang ini,” ujar Chema.

Chema dan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan, Majlis Olimpk Asia (MOA), Tan Sri M Jegathesan, adalah moderator membincangkan isu doping dalam forum atlet anjuran MOM, hari ini.

Jegathesan menegaskan kes doping akan berterusan selagi atlet tidak mengambil inisiatif mengikuti perkembangan senarai bahan terlarang dalam diet dan keperluan ketika proses pemulihan.

“Terdapat tiga jenis atlet yang mengambil bahan terlarang ini, yang pertama adalah atlet yang secara sengaja menggunakannya demi meningkatkan prestasi.

"Kedua adalah atlet yang tidak mengetahui kandungan makanan tambahan yang diambil, dan yang ketiga adalah mereka mungkin menjadi mangsa orang lain yang memberikan bahan terlarang ini,” jelas Jegathesan.

Dalam ucapan penutup forum itu, Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Jaafar, turut menawarkan pandangan terhadap tanggungjawab besar atlet sebagai tuan rumah.

“Di dalam pertandingan, atlet harus bersikap profesional untuk menerima sebarang keputusan menang atau kalah. Mereka harus berbangga dengan pencapaian mereka,” katanya.