Atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, mahu menjadikan musim 2017 sebagai peluang terbaik buat dirinya mengatasi jarak 60 meter.

Tahun 2016 menjadi antara tahun cemerlang buat Irfan selepas mencatatkan rekod baru kebangsaan, 59.29 meter, yang dilakukan di Poland, Jun lalu.

Dengan tiada lagi pertandingan buat dirinya sepanjang dua bulan ini, Irfan dalam proses mempersiapkan diri untuk tampil lebih bertenaga tahun hadapan.

Lantas, dia berpandangan tidak mustahil mampu mengatasi halangan 60 meter, khususnya dalam menghadapi temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

"Saya yakin dapat melakukan balingan melebihi jarak 60 meter. Sepatutnya saya mampu melakukannya tahun ini, tapi terkandas berikutan berdepan faktor mental dalam pertandingan.

"Kini, saya mula menjalani latihan yoga bagi membentuk kekuatan mental saya. Jadi, tunggulah tahun depan," kata pemenang pingat emas dalam dua edisi Sukan SEA yang lalu itu.

Dalam pada itu, Irfan sekali lagi akan ke Australia pada pertengahan Januari nanti untuk menyertai beberapa pertandingan di sana.

Jelasnya, pembabitannya di Australia lebih memberi manfaat kerana dapat sentiasa memperbaiki prestasi berdasarkan persaingan sengit oleh lawannya yang lain.

Selain itu, dia turut akan menjalani kem latihan di Langkawi untuk mengukuhkan lagi persiapan sebelum ke Australia.

"Di sana (Australia) saya lebih produktif. Lagipun, saya akan mempunyai rakan sepelatih yang setaraf.

"Cuaca, teknologi dan kemudahan di sana jauh lebih baik."