Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, menjanjikan jumlah pingat olahraga negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bakal mengejutkan ramai pihak, selepas menang tanpa bertanding kerusi nombor satu badan induk itu untuk tempoh hingga 2019.

Tugas berat menanti pegawai KOM yang memenangi jawatan dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu hari ini.

Mereka tidak boleh mengulangi pungutan tiga pingat emas seperti di Sukan SEA Singapura tahun lalu kerana Malaysia mahu muncul juara keseluruhan temasya di Kuala Lumpur, tahun depan.

"Saya mahu memaklumkan bahawa kami akan mengatasi pencapaian Sukan SEA yang lalu. Bukan sekadar mengatasi dengan 1-2 pingat emas sahaja, malah mungkin lebih daripada itu.

"Cuma kami perlu tunggu untuk melihat statistik di rantau Asia Tenggara," kata Karim.

Pencapaian terbaik skuad olahraga Malaysia ialah dengan memungut 17 emas di Sukan SEA Jakarta 1997.

Namun sejak itu, prestasi kontinjen olahraga negara merosot dengan sekadar meraih tiga emas, tahun lalu.

AGM KOM menyaksikan tumpuan terhadap jawatan naib presiden.

Datuk Noorul Ariffin Abd Majid dan M Iyaru berjaya mempertahankan jawatan, sambil Datuk Paduka Mumtaz Jaafar dan Datuk R Anamalai memenangi dua lagi kerusi yang dipertandingkan.

Calon yang tewas merupakan penyandang, Datuk Tan Siew Kai dan Rajemah Sheikh Ahmad.

"Saya akan memberi semangat dan dorongan kepada atlet kita seperti mana yang pernah berlaku dulu.

"Jadi, saya akan lakukan apa yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan olahraga," kata Mumtaz.

Bagi Anamali pula, dia melihat atlet olahraga pada masa ini perlu digilap dengan lebih baik bagi meningkatkan prestasi mereka.

"Atlet berpotensi kita sudah ada, cuma kita perlu menggiatkan lagi latihan dengan mengadakan latihan-latihan intensif untuk kita meraih kejayaan pada masa hadapan."