Sukan SEA 2017: Atlet ping pong lelaki jadi sandaran pingat emas

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Oktober 2016 100
Sukan SEA 2017: Atlet ping pong lelaki jadi sandaran pingat emas
Ketua jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei, berharap barisan pemain lelaki kali ini akan lebih menyerlah untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia dalam Sukan SEA 2017. 

Setakat ini, Lee Wei melihat hanya pemain perseorangan wanita, Ng Sock Khim, yang mampu menebus misi untuk meraih pingat emas selepas hanya merangkul pingat perak di Singapura tahun lalu. 

Kali ini, dia tidak mahu pemain wanita sahaja yang lebih menyerlah memandangkan pemain lelaki seperti Muhammad Ashraf Haiqal juga diletakkan sasaran bagi membantu negara memenangi emas. 

Tiada alasan untuknya tidak beraksi cemerlang kerana Ashraf kini giat menjalani latihan di China selama hampir sebulan sejak September lalu. 

"Kali ini kita akan bermain di Malaysia, saya harap pemain lelaki akan mampu mencapai keputusan yang memberangsangkan kerana selama ini, sandaran diletakkan ke atas pemain wanita. 

"Saya harap atlet lelaki mampu membuat sesuatu yang belum pernah dicapai sebelum ini. 

"Memang besar harapan yang kami letakkan kepada pemain lelaki," terang Lee Wei. 

Turut diberi perhatian adalah Ho Ying, yang semakin menunjukkan perubahan positif selepas mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan apabila dihempap plat alatan angkat berat pada Mei lalu, dan dia kini konsisten menjalani latihan. 

"Dia sudah memulakan latihan tapi untuk pulih sepenuhnya dan beraksi dalam kejohanan perlu bergantung kepada keadaan dirinya sendiri."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen