Tiada tekanan buat atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari, untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2017.

Dia merupakan penyumbang emas tunggal negara bagi acara menembak dua tahun lalu selepas mengungguli saingan 25 meter pistol wanita.

Alia Sazana mengakui beraksi di tempat sendiri menjanjikan suasana yang berbeza, namun itu tidak menjadi penghalang buatnya membuktikan kemampuannya.

"Saya tidak fokus untuk itu (memenangi pingat emas). Saya hanya memberi tumpuan terhadap sesi latihan.

"Ini kerana jika saya hanya memberi fokus untuk mempertahankan kejuaraan, ia hanya menambah tekanan buat saya sendiri.

"Jadi, saya memberi fokus kepada latihan dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.

Alia Sazana turut menyambut baik kehadiran ketua jurulatih baru dari Korea Selatan, Park Sang Soon, dalam membantu skuad negara mencipta keputusan lebih baik, khususnya dalam pertandingan antarabangsa.

Kredibiliti Sang Soon tidak dapat dinafikan selepas membantu Korea Selatan meraih lima pingat emas di Sukan Olimpik serta 30 emas Sukan Asia, pencapaian itu meningkatkan lagi motivasi atlet muda sepertinya.

"Kehadiran jurulatih baru dari Korea dalam menerapkan perkara-perkara baru dalam sesi latihan memberi ruang untuk kami memperbaiki kelemahan-kelemahan kami yang mungkin kami tidak sedari sebelum ini.

"Ini sesuatu yang bagus apabila kami mendapat bantuan sebegini."