Sukan Paralimpik Tokyo: Suresh mahu manfaat penundaan

Oleh Muzaffar Musa 1 April 2020 19
Sukan Paralimpik Tokyo: Suresh mahu manfaat penundaan
"Saya tidak akan lepaskan peluang ini," kata pemanah para negara, S. Suresh, yang kini memiliki tempoh lebih dari setahun untuk mempersiapkan diri bagi memburu pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020, telah membuat keputusan untuk menganjakkan temasya terbesar itu ke tahun depan berikutan pandemik Covid-19.

Ia menyaksikan Sukan Paralimpik Tokyo turut ditunda kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 -- genap setahun dari tarikh asal.

Bagi Suresh, ia merupakan peluang terakhirnya untuk mempersiapkan diri bagi melangsaikan misi peribadinya merangkul pingat emas dalam temasya itu.

"Saya yakin saya akan mendapatkannya (pingat emas).

"Ia memang impian saya selama ini, jadi saya memang tidak akan melepaskan peluang ini.

"Saya perlu memperbaiki kemahiran, kekuatan mental dan fizikal.

"Jadi, saya memerlukan banyak latihan psikologi dan kata-kata semangat untuk meningkatkan kekuatan mental saya," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman, melihat penundaan itu sebagai satu talian hayat buat lima sukan yang masih mencari slot ke Tokyo.

"Terdapat lima sukan lain iaitu, power lifting, badminton, boccia, ping-pong dan tenis kerusi roda, perlu merebut tempat.

"Jadi, ia merupakan satu kelebihan dan kami akan berusaha dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk memastikan kami dapat memanfaatkan sepenuhnya situasi ini," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen