Rasa terkilan dan cemburu menguasai diri atlet olahraga negara, Muhamad Nurdin Ibrahim, apabila rakan seperjuangan mula meninggalkan tanah air untuk ke Indonesia bagi menghadapi saingan Sukan Para Asia 2018 tatkala dia diketepikan akibat kecederaan lutut.

Ketika skuad olahraga para sudah terbang ke Indonesia hari ini, Nurdin tetap menjalani latihan seorang diri untuk mengembalikan tahap kecergasan akibat kecederaan lutut kiri.

Ternyata pilihannya untuk menjalani pembedahan pada Julai lalu membawa kepada keputusan jurulatih, R. Jeganathan, untuk mengetepikan Nurdin daripada ke Sukan Para Asia kerana khuatir risiko kecederaan yang mungkin berulang.

Tidak menolak rasa terkilan, namun Nurdin percaya keputusan Jeganathan adalah tepat sambil mengharapkan rakan seperjuangan mampu pulang dengan kejayaan dari Indonesia.

"Kecederaan lutut melibatkan risiko yang tinggi. Kebanyakan atlet yang melalui proses pembedahan lutut memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih," katanya.

Walaupun tidak ke Sukan Para Asia, pemenang pingat perak Kejohanan Para Dunia 2017 itu tetap akan memastikan dirinya mampu pulih sepenuhnya bagi melakukan persediaan terbaik ke Sukan Malaysia (Sukma) Para, hujung tahun ini.

"Saya cuba melalui proses pemulihan sebulan sebelum kembali menyertai latihan seperti biasa. Ia bukan satu kecederaan lutut yang serius.

"Ia hanya melibatkan satu tisu yang dikeluarkan dan memerlukan hanya satu jahitan," ujarnya.