Sukan Para Asia 2018: Rizal tekad bangkit buru emas 

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 93
Sukan Para Asia 2018: Rizal tekad bangkit buru emas 
Pemain boling tenpin para, Rizal Hassan, tetap berpuas hati dengan pingat gangsa walaupun hajatnya hari ini adalah untuk membutirkan emas buat kontinjen negara dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Rizal membuat penampilan sulung di pentas Sukan Para Asia selepas membarisi skuad boling tenpin para negara pada 2015.

Biarpun muncul antara muka baru, pemain kelahiran Selangor berusia 38 tahun itu tetap dijadikan sebagai prospek emas negara.

Begitupun, pemenang tiga pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 itu gagal melunas misi berkenaan dengan mengakhiri saingan acara individu TPB3 di tempat ketiga dengan 1,278 jatuhan pin.

Rizal dibezakan tujuh pin dengan pemain Taiwan, Huang Yu Hsiao, yang meraih perak tatkala emas dimenangi Lee Jaeyoun dari Korea Selatan dengan 1,381 jatuhan pin.

"Saya sudah berikan aksi sehabis baik, cuma di pertengahan saingan tadi, saya sedikit hilang fokus.

"Saya cuba bangkit tetapi gagal menghambat kedudukan," katanya. 

Seterusnya, Rizal akan mengambil bahagian dalam dua lagi acara, iaitu double dan trio, dengan harapan memenangi pingat emas buat skuad boling tenpin para negara.

"Secara peribadi, saya amat berpuas hati memandangkan ini penyertaan pertama saya dalam Sukan Para Asia. 

"Namun, sasaran sebenar saya dalam saingan ini adalah emas, jadi saya akan cuba menebusnya dalam acara double dan trio pula," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen