Sukan Para Asia 2018: Kontinjen negara sasar 15 emas 

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2018 90
Sukan Para Asia 2018: Kontinjen negara sasar 15 emas 
Lima belas pingat emas menjadi buruan kontinjen para negara dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Sasaran itu menyamai pencapaian kontinjen negara pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jumlah itu realistik berdasarkan kepada pencapaian semasa. 

Antara sukan yang dijangka dapat membutirkan emas sudah pasti olahraga, badminton serta boling padang.

"Kami menyasarkan 15 pingat emas.

"Berdasarkan semangat mereka yang berkobar-kobar, saya berasakan kami mampu mencapai kejayaan lebih gemilang tetapi minimum kutipan emas yang disasarkan adalah 15  selepas perbincangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen para negara di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, hari ini. 

Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ketua kontinjen negara, Lee Sheng Chow, kemudiann menyerahkan Jalur Gemilang kepada atlet boling tenpin, Abu Bakar Nyat.

Dalam pada itu, atlet para serta jurulatih menaruh keyakinan tinggi terhadap peluang sukan masing-masing untuk memperoleh pingat di Jakarta nanti.

"Persediaan kami sempena Sukan Asia cukup mantap. 

"Saya menyasarkan angkatan 195kg untuk meraih tempat kedua ataupun setidak-tidaknya pingat gangsa," kata atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin. 

Tambah jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria: "Dalam acara recurve, kami sasarkan untuk mara ke separuh akhir memandangkan di Incheon, kami gagal. 

"Dalam acara compound pula, kami sasarkan sebarang pingat menerusi berpasukan campuran." 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen