Peluang skuad memanah para merebut slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak terjejas dengan penundaan Sukan Para ASEAN 2020.

Jurulatih skuad memanah para negara, Marzuki Zakaria, berkata walaupun temasya sukan para terbesar Asia Tenggara itu ditunda ke Mac depan, ia tidak bertindih dengan tarikh kejohanan kelayakan ke temasya Tokyo 2020 Jun depan.

Atlet negara masih mempunyai peluang terakhir untuk merebut tiket ke Tokyo dalam Kejohanan Memanah Para Dunia dari 13 hingga 21 Jun depan.

"Penangguhan Sukan Para ASEAN memang tidak mengganggu proses kami untuk mencari slot ke Sukan Paralimpik.

"Cuma, sudah pasti berita penundaan itu sedikit-sebanyak memberi kesan daripada segi psikologi atlet," katanya.

Setakat ini, dua atlet memanah para layak ke Tokyo, iaitu atlet recurve, S. Suresh, dan atlet compound, Julin Wiro.

Untuk rekod, Sukan Para Asean Ke-10 di Filipina itu pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Januari ini, namun disebabkan masalah yang dihadapi, ia dicadangkan untuk ditunda kepada 20 hingga 28 Mac depan.

"Prestasi mereka OK, cuma mereka sudah 'set' dalam diri, bulan Januari kita akan bertanding dalam Sukan Para ASEAN, namun tiba-tiba tidak jadi.

"Tapi sebagai jurulatih, saya sudah bercakap dengan mereka supaya jangan hilang fokus.

"Tidak kira ia ditunda berapa lama, fokus kena sentiasa ada. Atlet kena sentiasa bersedia sebab kita tidak boleh jangka apa yang bakal jadi.

"Jika hilang fokus, maka hilanglah prestasi dan kejayaan yang sudah hampir kita kecapi," katanya.

Marzuki berkata sebagai langkah agar prestasi atlet tidak terganggu, Majlis Sukan Negara (MSN) mencadangkan untuk mengadakan kejohanan simulasi pada tarikh awal Sukan Para ASEAN itu.

Katanya, pihaknya akan mencari venue untuk memastikan cadangan MSN itu dapat dilaksanakan bagi memastikan atlet memanah para menyertai kejohanan simulasi itu.

-- BERNAMA