Hanya sebulan sebelum Sukan Para ASEAN di Manila bermula, ketua jurulatih skuad bola sepak para negara, Asnan Mohd Zuki, terpaksa mengambil risiko dengan merombak posisi penjaga gol selepas kehilangan pemain utama, Ahmad Azizan Aziz, kerana kecederaan.

Ahmad Azizan, yang membantu Malaysia memenangi pingat gangsa dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017, disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) awal bulan lalu.

Ia bermakna tugas pemain itu kini digalas oleh Syafiq Azahari, yang sebelum ini lebih banyak memanaskan bangku pemain simpanan.

Begitupun, Asnan masih memerlukan seorang lagi penjaga gol dan pertahanan, Noor Muhammad Arif Yusof, kini diletakkan di posisi itu.

"Kami terpaksa menjadikan pemain pertahanan sebagai penjaga gol kerana penjaga gol utama kami cedera.

"Pada saya, penggantinya layak untuk berada di posisinya," katanya.

Walaupun kekurangan seorang pemain, pengendali itu tidak bercadang untuk menambah sebarang pemain kerana percaya kepada kemampuan 13 pemain sedia ada.

"Ia memang berisiko.

"Tetapi dengan perancangan dan kerjasama yang baik, Insya-Allah, kami akan dapat bermain dengan baik," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa