"Latihan ibarat ombak." Itu luahan ketua jurulatih olahraga para negara, R Jeganathan, yang menganggap latihan selama beberapa bulan ini seperti lambungan ombak akibat penundaan kali ketiga Sukan Para ASEAN Filipina.

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) mengumumkan tarikh baru untuk temasya dwitahunan itu, iaitu 3 hingga 9 Oktober depan bergantung kepada situasi wabak koronavirus baru (Covid-19).

Bagaimanapun, satu mesyuarat akan berlangsung penghujung Julai depan bagi memastikan penularan wabak itu dalam keadaan terkawal sebelum tuan rumah melakukan langkah selanjutnya.

Situasi ini jelas merencatkan perancangan jurulatih dan atlet para negara yang mempunyai misi untuk meraih pingat.

"Semua jurulatih dalam keadaan serba salah. Selepas 12 bulan berlatih, atlet sudah mencapai kemuncak prestasi pada Januari lalu melalui latihan khusus.

"Kini prestasi atlet negara menjadi turun dan naik.

"Kalau asyik 'tekan' atlet, mereka akan bosan dan ia boleh mengakibatkan mereka ditimpa kecederaan.

"Semua jurulatih akan berdepan kesukaran," katanya kepada Wan Muiz Wan Aziz di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pagi tadi.