Sukan Para ASEAN: MSN bekalkan basikal 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 April 2020 99
 Sukan Para ASEAN: MSN bekalkan basikal 
Persiapan skuad berbasikal para negara untuk menghadapi Sukan Para ASEAN Filipina, Oktober depan, tidak tergugat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan 15 buah basikal kepada atlet elit bagi berlatih di kediaman masing-masing.

Ia berita yang baik buat atlet elit berbasikal negara yang amat memerlukan basikal masing-masing dalam usaha mengekalkan prestasi sepanjang krisis koronavirus baru (Covid-19) ketika ini.

Program latihan kekal sama, bezanya mereka berkayuh di kediaman masing-masing di bawah pemantauan jurulatih.

Skuad berbasikal para, yang merupakan prospek kontinjen Malaysia dalam Sukan Para ASEAN Edisi Ke-10, cemerlang dengan kutipan 22 pingat emas dalam edisi 2017 Kuala Lumpur.

"Keutamaan akan diberikan kepada pelumba Sukan Para ASEAN yang terdiri daripada tujuh orang, sebahagian atlet yang lain pula dibenarkan untuk membawa pulang basikal masing-masing," kata jurulatih berbasikal para negara, Sallehudin Noh, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

Biarpun Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), telah mengumumkan penundaan Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Para Dunia yang sepatutnya berlangsung di Ostende, Belgium, Jun depan, ia tidak mematahkan semangat mereka.

Malaysia dalam misi melakar sejarah Sukan Paralimpik Tokyo 2021 apabila cuba memastikan tiga pelumba layak secara merit setelah mengesahkan dua slot.

"Kami masih tidak tahu tarikh baru yang akan diberikan. 

"(Belum pasti) sama ada kejohanan itu akan diteruskan, dibatalkan ataupun ditunda.

"Ini merupakan kejohanan terakhir untuk pelumba mengumpul mata." 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen