Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih menunggu keputusan bertulis mengenai penganjuran Sukan Para Asean daripada selepas temasya dwitahunan itu ditunda dua kali.

Sebelum ini, Sukan Para Asean ditunda sekali lagi tatkala senario terbaru menyaksikan Filipina bakal menganjurkannya pada Mei atau Jun depan.

Bagaimanapun, MPM tidak bersetuju dengan cadangan tuan rumah itu memandangkan ia melibatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, pihak Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) masih belum memberi keputusan bertulis mengenai penganjuran temasya itu yang ditentang MPM sehingga menyebabkan badan induk itu tidak mampu mengambil langkah seterusnya.

"Antara kemaskini adalah kami sedang tunggu kenyataan rasmi sama ada ia diadakan semasa atau selepas raya. Mereka belum beri jawapan bertulis. Apabila ia diberikan, barulah kami boleh bertindak. Penganjur tetap akan didesak untuk diadakan selepas bulan puasa," kata Naib Presiden MPM, Muhd Iqbal Sulaiman.

MPM juga sedang bercadang mengadakan perjumpaan dengan sembilan buah negara yang terlibat sambil mengharapkan terdapat ada pihak lain ingin menganjurkannya.

"Antara cadangan adalah mungkin negara lain boleh anjurkan. Bagi kami, mereka seperti tidak mahu anjurkan. Namun, sembilan negara lain perlu berbincang untuk mendapatkan keputusan terbaik."