Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menunda kem pusat latihan akhir Sukan Para Asean Ke-10 kepada satu tarikh yang belum ditentukan selepas temasya itu dijadualkan pada hujung Mei depan.

Kontinjen para negara sepatutnya mula mendaftar di Hotel Morvenpick, Sepang bermula semalam sempena kem latihan pusat akhir Sukan Para Asean Ke-10.

Kem yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan mengumpulkan semua atlet yang bersaing dalam temasya itu sekali gus memberi motivasi terakhir sebelum bertolak ke Filipina.

Bagaimanapun, Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, menjelaskan kem itu ditunda kepada satu tarikh yang belum ditentukan selepas jawatankuasa paralimpik Filipina memutuskan penundaan temasya buat kali ketiga.

"Arahan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) ditangguhkan kerana tarikh tidak dapat ditentukan. Menteri juga menegaskan kepentingan utama adalah kesihatan," katanya.

Bagaimanapun, persetujuan bersama beberapa badan induk seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadi keutamaan Megat Shahriman dalam memastikan penglibatan atlet para negara dalam kempen kali ini.

"Untuk memulakan semula buat atlet, kami tidak mahu mengganggu prestasi mereka. Walaupun dilanda Covid-19, kami mahu mendapatkan penyelesaian terbaik."