Skuad olahraga kebangsaan mempertimbangkan untuk menggugurkan penyertaan tonggak utama, Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefli ke Sukan Para Asean seandainya tuan rumah, Filipina, tetap dengan perancangan untuk menganjurkan temasya itu Mac depan.

Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kerana ketiga-tiga atlet itu merupakan harapan Malaysia untuk meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sukan Para Asean sepatutnya berlangsung 18 Januari depan, namun Filipina mengumumkan terpaksa meminda tarikhnya kepada Mac tatkala saingan Paralimpik Tokyo dijadualkan berlangsung Ogos nanti.

Ia bermakna atlet para Malaysia mempunyai tempoh kurang lima bulan sahaja untuk bersiap bagi menghadapi temasya utama itu.

"Yang mana satu kami mahu fokus? Sukan Para Asean atau Sukan Paralimpik Tokyo? Jadi, memang tidak boleh capai prestasi terbaik dalam dua kejohanan yang begitu dekat masanya. Memang mustahil," kata pengurus skuad olahraga para negara, Mohd Zarravi Ravi Abdullah.

Setakat ini, ia sekadar perancangan dalaman dan masih tertakluk kepada keputusan muktamad dalam persidangan Persekutuan Sukan Para Asean (ASPF) di Bangkok, Thailand minggu ini.

Seandainya Filipina bertegas untuk menganjurkannya tiga bulan lagi, Malaysia tiada jalan lain dengan terpaksa menurunkan atlet pelapis ke Sukan Para Asean.

"Saya ikut apa pentadbiran cakap. Nak fokus Paralimpik, saya ikut. Saya ada lima atlet untuk ditumpukan dalam saingan di Tokyo.

"Kami sudah buat satu program yang berbeza dan ia bergantung kepada pengurusan. Kalau diadakan pada Januari depan, kami mahu lihat kekuatan dan kelemahan atlet," kata jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan.