Kontinjen Malaysia masih mengharapkan sinar agar Sukan Para ASEAN di Filipina bulan depan tidak akan ditunda dengan bantahan rasmi akan disuarakan dalam mesyuarat Persekutuan Para ASEAN di Bangkok, Thailand minggu ini.

Delegasi Malaysia, yang diketuai presiden baru Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, akan mencuba untuk berpakat dengan beberapa negara lain untuk mendesak tuan rumah, Filipina, meneruskan temasya itu pada tarikh sebenar 18 Januari ini.

Kerisauan ketika ini tertumpu kepada kontrak atlet separuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang bakal berakhir memandangkan Filipina berhasrat untuk menunda temasya itu ke Mac depan.

Kekecohan itu berlaku setelah Filipina dikatakan terpaksa menunda temasya itu kerana kekurangan dana dan masa untuk menyediakan fasiliti bagi atlet kelainan upaya.

"Kami tidak risaukan atlet sepenuh masa, kami risaukan mengenai atlet separuh masa memadangkan kami sudah membawa mereka ke sini sejak enam bulan lalu," kata pengurus skuad olahraga para negara, Zarrawi Ravi Abdullah.

"Mereka diberikan elaun dan insentif latihan.

"Jadi, kami perlu menilai semula semuanya dan berharap Majlis Sukan Negara ada perancangan khusus selepas ini.

"Kami mengharapkan sesuatu yang positif daripada mesyuarat itu," katanya.