Kemudahan yang mesra kepada orang kelainan upaya (OKU) menjadi tumpuan utama buat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam penganjuran Sukan Para ASEAN, September depan.

Dengan venue pertandingan yang kini rancak disempurnakan untuk penganjuran Sukan SEA, MPM mengharapkan suasana yang sama bagi Sukan Para ASEAN nanti.

Ini kerana Sukan Para ASEAN juga bakal menggunakan venue yang sama dan sudah pasti kemudahan untuk atlet serta pegawai lebih diberikan perhatian agar ia mudah digunakan.

Menurut Timbalan Presiden MPM yang juga Pengerusi Teknikal Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, John Ng, pihaknya kini sedang meneliti setiap venue agar ia menepati kemudahan yang diperlukan OKU.

"Sebagai pengerusi teknikal untuk Sukan Para ASEAN, saya juga merupakan OKU. Saya sangat mengutamakan kemudahan OKU dan perlu memastikan ia disediakan untuk atlet yang bakal beraksi di sini,” katanya.

John ditemui dalam mesyuarat lembaga Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) di Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat itu juga diadakan untuk memuktamadkan senarai awal atlet yang telah dihantar setiap majlis paralimpik masing-masing.

Dalam pada itu, John turut meluahkan keyakinan tiada insiden doping yang dapat menjejaskan penganjuran Sukan Para ASEAN kali ini.

“Saya berharap isu doping tidak akan menjejaskan penganjuran kali ini.”