Ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, berharap tiada pertindihan jadual dengan kejohanan antarabangsa selepas Sukan Para ASEAN Filipina, yang sepatutnya bermula 21 Mac ini, dikhabarkan akan ditunda buat kali kedua.

Jeganathan gusar penundaan itu akan menjejaskan peluang atletnya untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) menyarankan agar temasya dwitahunan itu ditunda ke Mei depan kerana penularan wabak novel koronavirus.

Ia penundaan kedua selepas perkara sama turut berlaku bulan lalu kerana negara tuan rumah itu mengalami masalah kewangan.

Walaupun begitu, Jeganathan tetap meneruskan persiapan anak buahnya sambil berharap tiada kejohanan antarabangsa akan yang akan bertindih dengan temasya itu kerana bimbang ia akan menjejaskan misi mereka untuk ke Tokyo.

"Kami ada 11 pelari yang dikenal pasti, empat sudah pasti (layak), tujuh lagi akan bertanding dalam Grand Prix IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) di Eropah bulan Mei ini.

"Mereka perlu mengambil bahagian untuk mendapatkan ranking dunia.

"Kami hanya akan menumpukan untuk (layak) ke Tokyo sahaja.

"Kerana Mei ini terdapat dua kejohanan penting di Itali dan Paris," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berpengalaman itu turut mendedahkan peningkatan prestasi pelari pecut para negara, Ridzuan Puzi, yang gagal menyinar dalam Kejohanan Dunia tahun lalu

"Kebelakangan ini, sejak Kejohanan Dunia lalu, dia sudah banyak berubah.

"Dia berusaha dengan amat gigih.

"Dia menunjukkan petanda yang baik.

"Dalam Kejohanan Dunia lalu, dia melakukan kesilapan.

"Jika tidak, saya percaya dia masih dapat melakukannya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa