Olahraga, renang, boling tenpin dan berbasikal menjadi sukan tumpuan buat kontinjen negara dalam merealisasikan misi menggapai 103 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN, Laksamana Pertama (B) Datuk Subramaniam Raman Nair, berhasrat untuk melihat kejayaan Malaysia dalam Sukan SEA 2017 dapat diteruskan di pentas Sukan Para ASEAN.

Mahu mengulangi pencapaian juara keseluruhan yang kali terakhir diraih pada 2001, beliau melihat sasaran 103 daripada 368 pingat emas yang ditawarkan sudah mencukupi buat negara.

"Terdapat banyak acara dalam olahraga dan renang, begitu juga dalam boling dan berbasikal. Sukan ini adalah kekuatan kita. Dalam sukan lain hanya ada satu acara. Kami akan mencapai sasaran kami," kata Subramaniam.

Bagi Sukan Para ASEAN yang membuka tirainya pada 17 Sepember ini, tiada sebarang tiket akan dikenakan dan kemasukan ke semua venue adalah percuma.

Justeru, Subramaniam menggesa orang ramai turun ke setiap gelanggang pertandingan bagi memberi sokongan kepada atlet para negara.

"Penyokong adalah satu faktor kepada kejayaan Sukan SEA tetapi bagi Sukan SEA, peminat harus membayar untuk memasuki venue.

"Bagi Sukan Para ASEAN, kemasukan adalah 100 peratus percuma, jadi tiada bayaran untuk upacara pembukaan, penutup dan venue pertandingan.

"Kami harap peminat tempatan dapat datang memberi sokongan," tambahnya.