Perintis sukan ekstrem seperti papan selaju sudah memandang kepada pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Adakah Malaysia berkongsi aspirasi sama terhadap sukan yang memungkinkan zahirnya pingat Olimpik berbanding keghairahan yang tidak sinonim dengan tradisi kebanggaan kita seperti terjun atau badminton?

Sukan papan selaju adalah di bawah Persekutuan Papan Selaju Antarabangsa (ISG) dan badan pentadbir di Malaysia pula ialah Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA).

"Dari segi kemudahan, saya melihat Thailand lebih ke depan dengan pembinaan gelanggang permainan papan selaju yang lebih moden.

"Reka bentuknya lebih sesuai untuk semua peringkat, tidak terlalu besar atau kecil," kata bekas atlet papan selaju negara, Johary Fithry.

Papan selaju pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu, ditambah dengan penganjuran Asian X-Games sekitar tahun 2002, 2004 dan 2006 di Kuala Lumpur.

Namun, ia semakin suram dengan fokus anak muda beralih kepada sukan lain.

Komuniti ini masih wujud, cuma kebanyakan yang pernah mewakili negara sudah pun bersara dan jika ada pun, sudah beralih ke bidang kejurulatihan.

Selepas sekian lama menyepi, papan selaju mula menampakkan taringnya apabila Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyenaraikan sukan ini untuk dipertandingkan di Tokyo 2020 bersama dengan sukan karate, sofbol/bola lisut, memanjat tembok dan luncur air.

Harapan Malaysia dalam sukan papan selaju kini bergantung kepada dua orang anak muda, Yaziry Amri dan Muhammad Umais Alwee, yang giat menjalani latihan secara serius.

Seorang lagi bekas atlet negara, Adlan Farazi, juga menyatakan selain perlu memperbanyakkan lagi kejohanan tempatan, satu pelan khas perlu dirangka untuk atlet negara mendapat latihan secukupnya bagi melayakkan diri ke Olimpik 2020.

"Saingan Olimpik mempunyai kuota. Untuk itu, atlet Malaysia perlu ada ranking di Asia," ujarnya.