Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, berasa kecewa dan kesal dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) namun belum berputus asa.

Dalam luahan kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini, situasi mereka ibarat tiada tempat bergantung untuk mempertahankan hak dalam pemburuan slot ke Sukan Olimpik Tokyo secara merit pada tahun depan apabila tercicir dalam program Road to Tokyo (RTT).

"Saya tidak boleh masuk dalam mesyuarat, persatuan yang sepatutnya mewakili atlet.

"Saya tidak tahu (pasti) mereka tahu atau tidak, ini adalah kehidupan kami dan kamilah yang menderita akibat tindakan mereka.

"Saya fikir, persatuan kami dikendalikan oleh mereka yang tidak berpengalaman.

"Ini adalah penggal pertama mereka, persatuan sebelum ini diwakili oleh mereka yang pernah mewakili Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) termasuk dalam komuniti di Asia.

"Jadi, dia sudah sedia maklum mengenai hal olahraga," katanya.





Kem latihan RTT selama sebulan yang tamat pada 30 Jun lalu menyaksikan sukan olahraga tidak disenaraikan.

Justeru, Nauraj menaruh harapan untuk melihat KOM lebih bersikap proaktif dalam memperjuangkan atlet di bawah naungan mereka untuk mendapatkan persiapan terbaik, apatah lagi kem lompat tinggi sudah membuktikan kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

"Hup Wei terpilih untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia tahun lalu yang menyaksikannya menamatkan saingan di tangga kelapan.

"Tetapi mengapa Hup Wei tidak tersenarai dalam RTT, mungkinkah tiada pihak yang mempertahankan kami," katanya.

Dalam masa yang sama, Hup Wei, 32, turut bersuara dalam membangkitkan kekecewaannya.

"Macam mana mereka pilih (senarai atlet RTT), kenapa tiada pihak yang berjuang untuk tempat saya dalam RTT.

"Ini mungkin adalah Sukan Olimpik terakhir buat saya. Ia impian saya dan mencapainya.

"Berdasarkan situasi COVID-19 ketika ini, tiada kejohanan akan diadakan pada masa terdekat kerana penganjur mahu virus ini reda terlebih dahulu, mungkin di Eropah tahun depan," katanya.