Sukan Olimpik Tokyo: MOM ada perancangan baru

Oleh Staff Writer 24 Julai 2020 29
Sukan Olimpik Tokyo: MOM ada perancangan baru
Hari ini, 24 Julai 2020, sepatutnya menyaksikan bandaraya Tokyo, Jepun menjadi tumpuan dalam penganjuran Sukan Olimpik dan kontinjen Malaysia akan tampil buat kali ke-16 dengan misi memburu pingat emas pertama.

Obor perjuangan kontinjen negara tetap menyala dalam misi emas pertama itu dan tekanan itu kian memuncak tatkala jiran Asia Tenggara yang lain sudahpun menuai hasil.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, miliki perancangan baru selepas temasya terbesar itu ditunda selama  setahun.

MOM optimis kemarau pingat emas itu dapat ditamatkan biarpun negara kehilangan seorang permata, Datuk Lee Chong Wei, yang mengumumkan persaraannya selepas membutir tiga pingat perak dalam tiga edisi berturut-turut sejak di Beijing pada 2008.

"Saya sedikit kecewa dengan penundaan ke tarikh baru ini selepas kontinjen yang sudah layak penat berusaha sehabis baik tetapi saya yakin atlet yang layak mampu bangkit dan memberikan aksi terbaik di Tokyo nanti," katanya.

Dalam masa sama, Norza turut mendedahkan perancangan mengenai atlet yang akan memikul tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang di Tokyo.

"Kami masih berbincang mengenai calon sesuai tetapi keputusan itu akan diumumkan tahun depan sebelum Sukan Olimpik bermula. 

"Kami perlu mengkaji dan menilai secara terperinci kerana ia melibatkan reputasi atlet yang benar-benar layak," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen