Sukan Olimpik Tokyo: Misi hidup mati Sharmendran

Oleh Bernama 15 Julai 2020 30
Sukan Olimpik Tokyo: Misi hidup mati Sharmendran
Memandangkan sukan karate akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, ia akan menjadi edisi yang julung-julung kali mempertandingkan sukan tempur itu memandangkan tuan rumah edisi 2024, Paris, tidak menyenaraikannya dalam acara sukan yang akan dipertandingkan.

Mengambil kira perkara itu, atlet karate negara, R. Sharmendran, akan berusaha keras meraih tempat untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar itu dan seterusnya berjuang untuk memenangi pingat.

Ia termasuk mengambil risiko menangguhkan pembedahan kecederaan lutut kanannya, yang telah dialami atlet acara kumite berusia 28 tahun itu sejak Disember 2018, walaupun perlu menanggung kesakitan.

"Selepas ini, mungkin tidak ada lagi acara karate dalam Sukan Olimpik atau itu (Olimpik Tokyo) boleh menjadi pertandingan terakhir saya, kita tidak tahu.

"Jadi buat masa ini, saya hanya perlu mempersiapkan yang terbaik untuk menghadapi kejohanan kelayakan itu.

"Mengenai kecederaan ini, saya tidak mahu menjalani pembedahan sekarang walaupun ia menyakitkan... Ini adalah peluang terakhir, saya boleh melakukannya selepas Sukan Olimpik, malahan sebelum Sukan SEA Filipina 2019, saya memerlukan masa lapan bulan untuk pulih tetapi saya dapat kembali dalam masa empat bulan.
 
"Ketika itu saya mengambil beberapa suntikan PRP (Platelet-rich Plasma) dan ubat-ubatan untuk terus bersaing walaupun dalam kesakitan. 

"Karate adalah sukan tempur, jadi saya perlu melawan rasa sakit itu," kata pemenang pingat emas kategori bawah 75 kg lelaki Sukan SEA 2017 dan 2019 itu.



Buat masa ini, juara Piala Dunia Karate 1 2014 itu kembali mencapai tahap kecergasan apabila menyertai kem latihan Program Road to Tokyo (RTT) bersama seorang lagi atlet sandaran Sukan Olimpik, S. Prem Kumar, sejak awal Jun lalu, selepas berehat selama tiga bulan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Tokyo, yang dijadualkan semula pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, Sharmendran akan menggunakan tempoh enam bulan pertama untuk tujuan 'conditioning' serta persiapan mental dan fizikal dan enam bulan berikutnya akan lebih padat dengan prapertandingan, kem latihan dan kelayakan Olimpik.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, S. Mahendran, berkata walaupun kerajaan membenarkan latihan secara bersentuhan (kontak) bermula hari ini dan diikuti dengan pertandingan domestik bermula 15 Ogos depan, dia hanya akan memberi tumpuan kepada persiapan fizikal secara asas untuk meningkatkan kekuatan dan otot atlet bimbingannya.

"Selepas itu, kami akan memulakan latihan kontak seperti biasa dengan memberi penekanan kepada kecergasan, kemahiran, serangan, pertahanan dan pertarungan. 

"Kami akan menggunakan atlet skuad remaja sebagai rakan sepelatih memandangkan tidak dapat berlatih di luar negara atau menjemput atlet dari negara lain buat masa ini. Kami telah mengenal pasti beberapa atlet remaja yang sesuai.

"Mungkin kami akan mengadakan kejohanan kebangsaan pada bulan Oktober, yang akan menjadi kejohanan domestik yang baik untuk atlet kita.

"Kami berharap pandemik COVID-19 ini akan segera berakhir, barulah  dapat pergi berlatih di luar negara atau menjemput atlet dari negara lain," katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen