Perenang negara, Phee Jinq En, kekal positif dengan pencapaian tangga kelima acara 200m kuak dada dalam Kejohanan Speedo Sectional di Amerika Syarikat (AS) walaupun makin kesuntukan masa untuk melepasi had kelayakan ke Sukan Plimpik Tokyo, Julai depan.

Dia mencatat 2 minit 34.61 saat -- lebih perlahan berbanding ketika meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina 2019.

Ia kejohanan sulungnya sejak kembali ke AS bulan lalu.

Dia perlu belajar menguruskan aspek penginapan dan memilih kejohanan memandangkan sudah tamat pengajian di negara terbabit.

Faktor itu meningkatkan cabarannya untuk fokus terhadap latihan dan memerlukan masa sebelum dapat menyesuaikan diri.

"Renangan saya lebih pantas daripada jangkaan awal memandangkan saya tidak cukup rehat, lagipun selepas 16 bulan sejak kali terakhir saya menyertai sebarang kejohanan.

"Saya juga perlu memandu 2 jam untuk sampai ke lokasi pertandingan kerana tidak menginap di hotel jadi persembahan kali ini boleh dianggap melangkaui jangkaan sendiri," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

Perenang berusia 24 tahun itu antara harapan terbaik Malaysia untuk layak ke temasya Tokyo 2020.

Temasya di Rio, Brazil, lima tahun lalu menyaksikan Jinq En beraksi dalam 100m kuak dada tetapi gagal melepasi peringkat saringan.