Wujud perasaan lega dalam gusar buat ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, yang berdepan kecederaan bahu berpanjangan.

Musim 2020 menawarkannya lebih ruang pemulihan tatkala penularan COVID-19 menyaksikan tiada sebarang kejohanan berlangsung, lebih-lebih lagi Sukan Olimpik Tokyo ditunda ke tahun depan.

Kecederaan lama yang menyelubungi atlet berusia 26 tahun itu kembali, ia berpunca daripada latihan yang tidak melibatkan aparatus semenjak Mac lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Buat masa ini, fizikalnya direhatkan daripada menjalani latihan berat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan penggunaan bahu bagi mengelak kecederaan itu daripada melarat.




"Setiap tahun saya menghadapi kejohanan besar, jadi ia menuntut saya untuk menunda proses pemulihan.

"Setiap hari saya akan menjalani fisioterapi dan ia bertujuan untuk kekalkan kecergasan sahaja, jadi ini masa terbaik dan saya berharap dapat pulih daripada kecederaan.

"Tetapi saya berasa sedikit kecewa kerana masih berasa sakit selepas dua bulan menjalani pemulihan," katanya dalam perkongsiannya bersama wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

Situasi itu melibatkan penukaran program latihannya oleh jurulatih skuad gimnastik artistik wanita negara, Ng Shu Wai.

Atas nasihat Institut Sukan Negara (ISN), Farah perlu direhatkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

"Kami harap terima lampu hijau daripada ISN dalam tempoh dua minggu lagi untuk membenarkannya berlatih melibatkan tangan di tahap 80 peratus

"Kami akan pulihkan kemahirannya secara perlahan-lahan selain tingkatkan aspek persembahannya untuk menghadapi Sukan Olimpik," kata jurulatihnya.