Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, menaruh harapan penglibatan syarikat swasta akan lebih meningkat dalam menyalurkan sokongan kewangan kepada persatuan sukan negara selepas hanya RM100 juta peruntukan diberi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jelas Norza, peruntukan sebanyak RM100 juta itu sememangnya sudah memadai sekiranya ia hanya tertumpu kepada sukan-sukan yang mampu membawa pulang pingat emas sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Bagaimanapun, sokongan kewangan daripada syarikat swasta khususnya amat dialu-alukan bagi membantu sukan-sukan yang tidak terlibat dalam temasya berprestij itu seperti Sukan SEA 2019 dan kejohanan dunia.

"Sudah tiba masanya syarikat-syarikat swasta menyambut keprihatinan dan keikhlasan pihak kerajaan dengan bersama-sama menghulurkan sumbangan dalam sukan negara," kata Norza.

Paling utama ketika ini adalah perincian peruntukan berkenaan secara menyeluruh yang perlu dijelaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), seiring dengan sistem berperingkat yang diperkenalkan berdasarkan empat temasya utama.

Ini kerana Norza tidak mahu penstrukturan semula itu akan merencatkan program pembangunan yang sedia ada.

"Sistem berperingkat yang diperkenalkan merupakan proses pengelasan berpandukan faktor kekangan yang ada.

"Namun, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa proses pembangunan adalah terdiri daripada program akar umbi, seterusnya program pembangunan atlet pelapis sebelum beralih ke kancah elit.

"Proses itu perlu dilalui secara sistematik," katanya.

Info penstrukturan semula program latihan atlet:

Peringkat 1: Sukan Olimpik 2020
Peringkat 2: Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022
Peringkat 3: Sukan SEA 2019 / 2021
Peringkat 4: Kejohanan bukan temasya