Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) masih dalam pertimbangan untuk mengekalkan khidmat Mohd Affendy Abdullah sebagai jurulatih negara menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kedudukan jurulatih skuad pelayaran antarabangsa masih menjadi tanda tanya bagi mengiringi Khairul Nizam Affendy dan Nur Shazrin Abdul Latif yang sudah pun layak secara merit.

"Barisan kejurulatihan masih di peringkat perbincangan sebelum dibentangkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya difahamkan mesyuarat jawatankuasa pemilihan yang akan dipengerusikan MSN bersama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pihak persatuan kebangsaan akan diadakan pada awal bulan depan.

"Perbincangan itu bukan sahaja melibatkan hala tuju jurulatih, malah termasuk atlet yang akan menyertai kejohanan pada tahun hadapan," kata Pengurus, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan, ketika ditemui dalam Bengkel Semakan Semula Perancangan Strategik PPM.

Bengkel itu diadakan selama tiga hari bagi tujuan memperkemaskan perancangan PPM yang diatur sejak 2014 sehingga 2020.

"Kami sudah mencapai sasaran awal PPM, iaitu layak ke Sukan Olimpik 2020.

"Kami baru selesai mengadakan kongres PPM dengan Presiden, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, menganggap inilah masa yang sesuai untuk kami menyemak semula perancangan strategik bagi disesuaikan dengan perkembangan semasa dan program baru yang akan dijalankan MSN," tambahnya.