Bintang skuasy negara yang terhimpit dengan kecederaan lutut serius, Low Wee Wern, semakin hampir untuk kembali ke gelanggang kompetitif.

Selepas tiga pembedahan lutut kiri sejak pertengahan 2015, Wee Wern dalam landasan untuk beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, tahun depan.

"Semuanya berjalan lancar dalam proses pemulihan untuk saya beraksi semula tepat pada masanya.

"Saya berharap dapat mula beraksi kompetitif pada hujung tahun ini. Saya memerlukan tiga bulan lagi untuk menjalani program pemulihan sebelum beraksi seperti biasa.

"Saya mula masuk ke gelanggang sejak dua bulan lalu. Pada awalnya saya hanya berlatih secara statik sahaja tetapi kini mula berlatih bersama jurulatih, sama ada di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur," ujarnya.

Wee Wern berasakan tempoh dua bulan memadai untuk membuktikan dia berupaya menangani beban mental dan fizikal untuk mewakili skuad negara dalam temasya itu.

Edisi Glasgow 2014 menyaksikan Wee Wern terkandas dalam suku akhir saingan perseorangan dan beregu di samping Datuk Nicol David.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan memuktamadkan senarai 10 pemain -- lima lelaki dan lima wanita untuk kempen ke Gold Coast.

"Sudah tentu saya mahu bermain dalam Sukan Komanwel. Saya memerlukan tempoh beberapa bulan untuk mendapatkan rentak di peringkat tinggi.

"Saya yakin mampu mencapai prestasi itu menjelang Sukan Komanwel nanti."