Sukan Komanwel: Tidak banyak kategori olahraga para disenaraikan 

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2017 268
Sukan Komanwel: Tidak banyak kategori olahraga para disenaraikan 
Acara berbasikal dan powerlifting menjadi sandaran utama kontinjen Paralimpik negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 setelah impian membariskan atlet terbaik negara dalam olahraga tidak kesampaian ekoran acara membabitkan wakil negara tidak tersenarai. 

Menurut Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Yusoff, ia berikutan langkah tuan rumah yang hanya menyenaraikan 12 acara bagi olahraga. 

Daripada 12 acara berkenaan, tiada acara yang mungkin boleh menghadiahkan pingat kepada negara seperti lontar peluru lelaki T20 menerusi Ziyad Zolkefli, dan 100 meter T36 menerusi Ridzuan Puzi. 

Sebaliknya, acara 100m hanya menyenaraikan klasifikasi T12, T38 dan T47 untuk lelaki manakala wanita hanya T35 dan T38. 

"Tidak semua acara dapat dipertandingkan dalam Sukan Komanwel.

"Acara atlet-atlet utama kita tidak dipertandingkan kali ini dan menyebabkan kami hanya dapat menghantar atlet yang bertanding sahaja," katanya. 

Berbasikal menjadi prospek cerah untuk mendapatkan sebarang pingat menerusi acara pecut serta 1,000m ujian masa lelaki dan wanita. 

Bagi powerlifting, kontinjen negara dijangka menyenaraikan Jong Yie Khie untuk kategori heavyweight manakala lightweight melalui Bonnie Bunyau Gustin. 

"Ini berdasarkan prestasi semasa atlet kerana kita mempunyai skuad berbasikal trek tandem dan atlet powerlifting yang sedang meningkat naik," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen