Sukan Komanwel: Tiada wakil pertahan emas angkat berat 

Oleh Penulis Jemputan 8 Disember 2017 119
 Sukan Komanwel: Tiada wakil pertahan emas angkat berat 
Malaysia hilang wakil angkat berat bagi kategori 69 kilogram dalam Sukan Komanwel 2018 apabila Muhammad Ery Hidayat selaku pengganti Mohd Hafifi Mansor gagal melepasi had kelayakan temasya di Gold Coast, Australia. 

Ery diletakkan sebagai pengganti terbaik selepas Hafifi gagal ujian sampel B dopingnya baru-baru ini. 

Begitupun, jumlah angkatan atlet berusia 18 tahun itu masih jauh ketinggalan dan secara tidak langsung tidak layak beraksi dalam Sukan Komanwel, April nanti. 

Dia terkeluar daripada senarai 20 atlet terbaik Persekutuan Sukan Komanwel dengan jumlah angkatan 286kg. 

Hanya 15 atlet terbaik layak ke Gold Coast dan ini bermakna Malaysia tidak akan mempertahankan emas milik Hafifi, empat tahun lalu. 

"Saya masih lagi belum mampu untuk meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel. Saya sedih sebab kalau Hafifi ada, sukan angkat berat akan menyerlah jika kami memenangi emas.

"Dalam kategori 69kg, persaingannya agak tinggi. Sehubungan itu, saya perlu gigih berlatih untuk meraih pingat Sukan Komanwel nanti," kata anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon, itu. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng, mengesahkan Hafifi gagal ujian sampel B dan perlu mengadap Jawatankuasa Siasatan PABM dalam tempoh dua minggu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen