Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) bersikap realistik dengan tidak meletakkan tekanan ke atas Datuk Nicol David untuk mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun hadapan.

Ketika Nicol memenangi pingat emas di Glasgow, Scotland, empat tahun lalu, dia berada di kemuncak dunia.

Sehubungan itu, untuk meletakkan kepastian Nicol akan mempertahankan emas hanya akan mengenakan tekanan tambahan buat pemain itu.

Sebaliknya, pendekatan yang lebih baik adalah untuk memastikan ratu skuasy negara itu kembali di kemuncak prestasi menuju kempen di Gold Coast, April tahun depan.

"Saya tidak perlu meletakkan sebarang tekanan kerana Nicol sedar dia perlu tampil dengan baik dan juga sedar seluruh negara mengharapkannya untuk memenangi emas.

"Seluruh negara juga sedar kelibat Nicol bukan lagi seperti empat tahun lalu," ujar Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

England, yang diketuai Laura Massaro dilihat sebagai pilihan untuk merampas emas daripada Nicol dan tidak ketinggalan, bintang New Zealand, Joelle King.

"Hong Kong dan India adalah ancaman selain Australia.

"Semua pemain wanita percaya mereka mempunyai peluang untuk merebut emas. Masalah besar kami ketika ini adalah membuat Nicol menyerlah dan memenangi medal, khususnya emas," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Low Wee Wern, yang sedang menjalani pemulihan kecederaan dan pembedahan berada dalam senarai awal untuk mewakili Malaysia dalam temasya itu.