Pemain perseorangan utama skuad boling padang negara, Saufi Rosli, mengesahkan akan turut beraksi bagi saingan trio lelaki dalam Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan.

Pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur itu percaya tiada masalah buatnya bergandingan dengan mana-mana pemain untuk saingan trio dalam temasya itu.

Saufi juga optimis ia bukan masalah baginya beraksi dalam acara tersebut selain perseorangan lelaki.

"Saya rasa saya diletakkan dalam acara trio sebab dalam latihan, jurulatih sudah memberikan bayangan, latihan lebih terarah kepada trio dan perseorangan.

"Saya tiada masalah diletakkan di mana-mana posisi sebab kami sudah berlatih bersama dan semua sudah tahu kekuatan masing-masing," katanya.

Ia adalah kali pertama Saufi bakal beraksi dalam Sukan Komanwel, namun pemain yang berasal dari Sungai Besi itu sudah bersedia untuk mendukung cabaran negara selaku perseorangan utama lelaki
di Gold Coast.

Bagi Saufi, dia sedar cabaran yang menanti di Gold Coast lebih sukar berbanding Sukan SEA tetapi dia bersedia membawa cabaran negara kerana ia menjadi cita-citanya beraksi di pentas itu.

"Tekanan memang lagi tinggi tetapi ini adalah peluang untuk saya. Sejak mula bermain dalam boling padang ini, saya sudah meletakkan sasaran untuk beraksi dalam Sukan Komanwel.

"Alhamdullillah, saya dapat menjejakkan kaki. Insya-Allah. Saingan daripada tuan rumah (Australia), New Zealand, Scotland mungkin lebih hebat lagi," ujarnya.