Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) meletakkan harapan tinggi agar sekurang-kurangnya dua atau tiga peninju mereka disenaraikan walaupun sedar dengan kekangan jumlah atlet negara yang akan menyertai Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April 2018.

Setiausaha Kehormat PTAM, Shamsul Deran, berkata buat masa ini dia tidak dapat mendedahkan tiga nama peninju yang disenaraikan kerana masih menunggu kata putus daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Berharap kesemua tiga peninju berkenaan disenaraikan, dia meramalkan peluang sukan itu untuk meraih pingat dalam temasya itu tetap ada.

Pemenang pingat emas tunggal negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Muhd Fuad Redzuan, berpeluang cerah untuk disenaraikan selain Adli Hafiz Mohd Pauz dan Indran Ramakrishan.

"Kalau ikutkan senarai nama yang kami hantar, memang kami hantar tiga atlet. Tetapi ia bergantung kepada pihak panel berapa ramai yang terpilih untuk ke Gold Coast," katanya.

Sedar saingan lebih sukar menanti di pentas Komanwel, PTAM telah membuat persiapan awal akan menghantar atlet berlatih selama tiga bulan di luar negara dengan pilihan utama di Uzbekistan.

Menurut Shamsul, bukanlah perkara mustahil untuk menamatkan kemarau pingat yang kali terakhir dimenangi oleh Zamzai Azizi Mohamed di Manchester pada 2002.

"Berdasarkan perancangan kami, tidak mustahil kami boleh membawa pulang pingat ke Malaysia, warna apa? Ia bergantung kepada peninju itu sendiri.

"Semua peninju saya bagus, kalau tidak, mereka tidak layak untuk pemilihan, tidak layak untuk ke Gold Coast. Ia bergantung kepada mereka sendiri. Kalau waktu itu dia beraksi baik, tidak mustahil dia memenangi pingat. Itu sahaja."

Ini merupakan kali kelima Australia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel selepas julung kalinya dianjurkan di Sydney pada 1938.