Penembak senior negara, Hasli Izwan Amir Hassan, menafikan dia sudah bersara, sebaliknya akan menyertai dua acara dalam Terbuka Selangor yang akan berlangsung di Lapangan Menembak Subang, bermula Rabu ini.

Hasli dikatakan bersara selepas meraih pingat perak acara individu 25 meter rapid fire pistol dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Bagaimanapun, penembak kelahiran Ipoh, Perak ini mendakwa dia masih lagi aktif dan akan membuat penampilan sulung, Rabu ini, tiga bulan selepas tamat Sukan SEA.

"Mungkin terdapat pihak yang keliru dengan hasrat saya. Saya hanya bersara daripada bersaing dalam Sukan SEA tetapi bagi kejohanan lain, saya akan terus bertanding kerana kategori ini dipertandingkan dalam Sukan Olimpik," katanya.

Hasli turut menegaskan dia mahu menebuskan kekecewaan Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Scotland dengan mempamerkan persembahan yang cemerlang bagi temasya sama di Gold Coast, Australia, tahun depan.

"Di rantau Asia Tenggara, acara ini jarang dipertandingkan, jadi saya mengambil keputusan untuk berundur diri daripada beraksi dalam Sukan SEA.

"Saya berhasrat untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel kali ini bagi menebus kekecewaan pada edisi sebelum ini. Ia adalah sasaran saya untuk meraih keputusan yang lebih baik di Gold Coast nanti," ujarnya.