Juara lempar cakera Asia Tenggara, Irfan Shamsuddin, perlu segera bangkit daripada masalah kesihatan influenza A demi sekalung medal dalam Sukan Komanwel 2018 dengan baki persediaan hanya tinggal empat bulan.

Biarpun baru sahaja pulih selepas dilanda demam itu selama seminggu sehingga tiga hari dikuarantin di hospital, namun Irfan masih tidak mengalah dengan keadaan itu, malah dia segera memperkemaskan latihannya demi temasya di Gold Coast pada April nanti.

Dengan catatan terbaiknya, iaitu 62.55 meter, kredibilitinya sudah berjaya melepasi pemenang pingat gangsa dari Jamaica yang dilakar di Glasgow empat tahun lalu.

Atlet berjiwa besar itu, bagaimanapun, menyasarkan catatan lebih baik biarpun dia mengakui tempoh empat bulan terlalu singkat untuk dia berada dalam prestasi terbaik.

"Saya bukan sekadar menyasarkan kedudukan ketiga, sebaliknya saya percaya mampu meraih pencapaian yang lebih besar.

"Saya yakin boleh pergi jauh dan bukan sekadar pingat gangsa," katanya.

Nama Irfan turut disenaraikan buat julung kalinya dalam Program Podium, namun dia sedang menunggu kontrak untuk meneruskan program latihan di luar negara sebagai persediaan.

"Kalau mengikut perancangan awal jurulatih, saya akan berlatih di luar negara sekitar Mac nanti tetapi saya mahu melakukannya bulan ini.

"Bagi saya, saya perlu mendapat pendedahan sekarang juga," katanya.