Harapan penerjun sensasi negara, Wendy Ng Yan Yee, beraksi dalam Sukan Komanwel masih belum terkubur kerana sedang menunggu laporan penuh sesi pendengaran yang telah dilakukan berhubung kes dopingnya.

Proses pendengaran telah dijalani oleh Yan Yee dan kini sedang menanti laporan mengenai siasatan kes doping jenis sibutramine yang membabitkannya.

Menurut Setiausaha Agung, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, bahan yang dipercayai krim yang didakwa digunakan Yan Yee telah pun dihantar untuk proses uji kaji.

Rayuan tetap akan dibuat oleh atlet berusia 24 tahun itu mengenai tempoh hukuman bagi memastikan dia boleh beraksi di Gold Coast, Australia, April depan.

"Kami menantikan keputusan laporan, kemudian membuat rayuan untuk (dia) beraksi dalam acara seirama bagi Sukan Komanwel," kata Mae yang ditemui dalam mesyuarat Majlis Sukan Negara (MSN) bersama persatuan sukan bagi Program Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 yang merupakan bengkel merangka perancangan latihan buat atlet.

Terbaru, ASUM memutuskan tidak mengubah kedudukan jurulatih renang, Paul Birmingham, ke dalam Program Podium, sebaliknya kekal melatih satu pasukan menjelang Sukan Komanwel.

"Buat masa ini, Birmingham komited untuk melatih semua atlet renang daripada memberikan tumpuan kepada Welson (Sim). Saya menjangkakan Welson mampu mara ke pusingan separuh akhir dalam acara yang disertainya," tambahnya.