Kerja keras skuad gimnastik negara sudah bermula apabila jurulatih lelaki, Ng Shu Liang, mengesahkan aksi pertama dua prospek negara sempena menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast di Australia nanti adalah pada Februari depan.

Malaysia akan mempertaruhkan pemenang pingat emas bersama apparatus kekuda berpelana Sukan SEA Kuala Lumpur, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie.

Kejohanan sulung dalam Piala Australia 2018 pada Februari nanti cukup strategik memandangkan saingan akan dianjurkan di venue temasya Komanwel 2018, April depan.

"Kami sudah membuat perancangan untuk tahun depan dengan menjadikan Piala Australia sebagai kejohanan sulung.

"Jeremiah dan Fu Jie akan ke sana kerana mereka akan bertanding dalam Sukan Komanwel manakala tempat peserta Malaysia yang lain belum dipastikan lagi," kata Shu Liang.

Penampilan dalam Piala Australia itu adalah sebagai misi serampang dua mata untuk menyesuaikan diri dengan venue Sukan Komanwel.

Oleh itu, dia menjangkakan atlet terbaik dunia akan mengambil kesempatan untuk turun beraksi di sana bagi tujuan sama.

"Ramai peserta dari negara Komanwel seperti Australia, England dan Kanada akan turut serta.

"Ramai yang ingin menguji kemampuan masing-masing dalam kejohanan antarabangsa sulung tahun depan. Kami juga berkesempatan untuk melihat perkembangan prestasi negara-negara lain," katanya lagi.