Kehangatan penganjuran Sukan Komanwel Gold Coast 2018 semakin dirasai dengan Larian Baton Ratu yang diadakan di Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysia merupakan destinasi ke-54 yang dikunjungi Baton Ratu yang merupakan acara tradisi yang dilakukan oleh setiap hos Sukan Komanwel.

Larian yang bermula di Dataran Keris, Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menyaksikan tujuh kumpulan mengambil turutan untuk membawa baton berkenaan sejauh 1.3 kilometer sekitar Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Lebih 300 orang mengambil bahagian yang turut merangkumi Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) di samping atlet serta bekas atlet kebangsaan.

Selain itu, larian itu turut disertai beberapa personaliti Astro Arena, antaranya Zainal Abidin Rawop dan Hasnizam Uzir.

Kemuncak acara itu menyaksikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar, menyampaikan baton kepada ahli lembaga eksekutif Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Tan Sri Dr M. Jegathesan.

Ia bagi menandakan penyerahan semula baton itu kepada CGF dengan kunjungan ke Brunei Darussalam serta Singapura akan melengkapkan siri jelajahnya ke rantau Asia.

"CGF gembira dengan perkembangan Sukan Komanwel setakat ini.

"Kami telah berkunjung ke banyak negara dengan Larian Baton Ratu ini telah bermula di Pakistan, diikuti India.

"Baton Ratu tiba di sini dari Sri Lanka dan kami dengan berbesar hati akan menyerahkannya kepada Brunei pula sebelum menyempurnakannya di Singapura," kata Jegathesan.