Badang negara, Azroy Hazal Wafi Ahmad Izhar, memilih Vietnam sebagai venue kem latihan pusat menjelang Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, April depan.

Skuad angkat berat negara tidak dibenarkan lagi ke China selepas Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menggantung badan induk negara itu selama setahun bermula Oktober lalu kerana wujud tiga kes positif apabila ujian semula dijalankan terhadap atlet Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Sehubungan itu, atlet Malaysia diminta supaya memilih kem latihan di negara lain.

"Jurulatih telah memantau lokasi di Indonesia dan ia tidak sesuai manakala lokasi yang bagus di Thailand pula hanya (terhad) di Pusat Latihan Olimpik. Selain daripada itu, mereka berlatih di dalam kem tentera tetapi orang luar tidak dibenarkan masuk.

"Sebab itulah saya memilih Vietnam. Lagipun, saya mempunyai rakan gandingan di sana," kata juara Kejohanan Negara Komanwel pada September lalu itu.

Skuad angkat berat negara sebelumnya kerap berlatih di China, terutama sejak dibimbing jurulatih kelahiran negara itu, Wang Zhi Quan, pada 2015.

Sementara itu, Wafi menyambut baik pemilihan atlet kategori 62kg, Muhammad Aznil Bidin, dalam Program Podium untuk menggantikan Hafifi Mansor yang digantung kerana kes doping.

"Saya harap kontrak Program Podium yang akan ditawarkan nanti mampu melonjakkan kami untuk pergi jauh," tambah atlet berusia 23 tahun kelahiran Pahang itu.