Kuala Terengganu menjadi lokasi pilihan buat skuad boling negara untuk meneruskan program latihan fasa akhir sebelum menyertai Sukan Asia di Indonesia, pertengahan bulan ini.

Selepas mengharungi persiapan di Sunway Megalanes, skuad boling negara akan ke Kuala Terengganu esok untuk memulakan kem latihan selama dua minggu.

Langkah itu diambil berikutan di sana terdapat gelanggang boling yang mempunyai ciri-ciri serta permukaan lantai yang hampir sama seperti di Palembang nanti.

Bagi salah seorang atlet boling negara, Ahmad Muaz Fishol, persediaan awal ini penting kerana Indonesia selaku tuan rumah pastinya akan menggunakan segala kelebihan yang ada.

"Di sana nanti, kami akan mencuba gelanggang yang hampir sama dengan keadaan di Palembang, jadi kami memerlukan venue itu sebagai medan latihan. Keadaan di Palembang lebih besar, itu perbezaannya," katanya.

Skuad negara juga kini dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem mata yang berbeza dalam Sukan Asia.

Jika sebarang kesilapan dilakukan, khususnya di peringkat awal, ia dilihat bakal mendatangkan masalah disebabkan jurang mata yang amat tinggi.

Atlet wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, bertekad memastikan kejayaan meraih gelaran dunia dalam saingan berpasukan di Las Vegas, Amerika Syarikat tahun lalu diteruskan dengan membawa pulang pingat emas bagi acara berkenaan di Palembang nanti.

"Buat kami, jurulatih akan memberitahu bagaimana untuk tampil konsisten. Kami praktikkannya, terutama untuk semangat berpasukan," ujarnya.