Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mempertimbangkan tiga calon untuk mengisi jawatan jurulatih skuad compound negara bagi menggantikan Muhammad Zaki Mahazan yang enggan menyambung kontrak menjelang Sukan Asia Indonesia 2018.

NAAM berdepan kesuntukan masa untuk mencari pengganti Zaki yang sudah menandatangani kontrak bersama Persatuan Memanah Negeri Kedah.

NAAM akan mengadakan pertemuan dengan pihak Program Podium untuk membincangkan hala tuju skuad compound.

Setakat ini, tiada kata putus mengenai calon paling sesuai kerana mereka sedang menunggu pengesahan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) mengenai jenis acara compound dalam temasya Ogos itu nanti.

"Kami terpaksa menunggu sehingga hujung bulan ini, iaitu selepas mesyuarat INASGOC.

"Kami masih belum mendapat keputusan sama ada compound akan dimasukkan ke dalam Program Podium atau tidak.

"Namun, kami mempunyai beberapa calon dan akan meneliti yang terbaik," kata Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abd Hamid Hassan.

Bulan lalu, INASGOC mengumumkan compound kembali tersenarai dalam Sukan Asia membabitkan acara berpasukan lelaki, wanita dan campuran.

"Sebaik tahu acaranya nanti, kami akan mendapatkan jurulatih yang mungkin dari kalangan tempatan mahupun import serta perjalanan program latihan mereka, baik di dalam atau luar negara.

"Ia akan ditentukan jika mereka tercalon dan memenuhi Program Podium," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.