Sukan Asia: Skuad ragbi negara rangka persiapan buru pingat 

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2017 124
Sukan Asia: Skuad ragbi negara rangka persiapan buru pingat 
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, mahu memastikan prestasi cemerlang skuad ragbi 7's negara dapat diteruskan untuk dua lagi tugasan utama tahun depan.

KRM sudah pun membentangkan perancangan mereka bagi musim 2018 kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Sabtu lalu, dengan skuad ragbi 7's menjadi keutamaan. Dua tugasan utama yang menanti mereka adalah temasya Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia di Indonesia. 

Tatkala Sukan Komanwel lebih kepada medan pendedahan bagi meraih pengalaman, sasaran utama negara sudah pasti meraih pingat dalam Sukan Asia. 

"Persiapan kami akan diteruskan sejak Sukan SEA Kuala Lumpur dan Kejohanan Asia 7's yang lalu. Sukan Komanwel adalah pentas untuk mempersiapkan kami menghadapi Sukan Asia dalam pemburuan pingat," ujarnya. 

Secara keseluruhan, Shahrul Zaman percaya program persiapan yang diatur untuk 2018 mampu melonjakkan sukan ragbi negara ke tahap yang lebih tinggi. 

Selain skuad 7's, skuad 15 sepasukan turut berdepan cabaran paling getir, iaitu saingan Asia Premier dengan pasukan bergelar juara berpeluang merebut tempat ke Piala Dunia Jepun 2019. 

"Kami mahu momentum yang diperolei dalam Sukan SEA dapat diteruskan, agak rugi kalau ia terhenti," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen