Sukan Asia: Skuad ragbi 7's negara pasang impian besar

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2017 502
 Sukan Asia: Skuad ragbi 7's negara pasang impian besar
Selepas mencipta sensasi dalam Sukan SEA 2017, pasukan ragbi tujuh sepasukan (7's) negara sedia menjadikan tahun 2018 sebagai satu lagi detik bersejarah dengan memasang impian merangkul sebarang warna pingat dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang.

Berdasarkan kekuatan semasa skuad ragbi negara, mereka kini berada dalam kalangan enam terbaik Asia dan peluang memenangi pingat tampak tidak mustahil.

Dengan kelompok kualiti pemain muda yang dimiliki skuad kendalian Saizul Hafifi Noor, mereka dijangka mampu mengecilkan jurang kekuatan yang dimiliki Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan. 

Skuad ragbi 7's negara kini dalam persiapan untuk menghadapi siri ketiga Kejohanan Asia di Sri Lanka, bermula hujung minggu ini. 

"Kami kini berada di kedudukan keenam Asia, kami akan ke Sri Lanka dan kami berpeluang melonjak ke tangga kelima.

"Tidak mustahil kami beroleh pingat gangsa dalam Sukan Asia, kami belum lagi menyasarkan emas, dengan syarat kami mendapat pendedahan yang baik seperti temasya KL2017," ujar Setiausaha Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Jamaluddin Salim.

Justeru, dia melihat penyertaan skuad ragbi dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold coast sebagai peluang terbaik mendapatkan pendedahan di peringkat tertinggi.

Biarpun sedar keputusan pasti tidak akan memihak skuad negara, namun itu bukan menjadi matlamat utama KRM. 

"Kita dah layak secara merit. 

"Untuk layak ke Sukan Komanwel, Ragbi Dunia telah menetapkan dua negara terbaik Asia akan terpilih berdasarkan kelompok lapan terbaik siri Asia," katanya.

Sebelum ini, Saizul berasa peluang beraksi di Gold Coast sebagai kesempatan yang sukar dilepaskan kerana bukan mudah bertemu pasukan terkenal dunia seperti New Zealand dan juara Sukan Olimpik 2016, Fiji. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen