Status jurulatih skuad memanah compound negara, Muhammad Zaki Mahazan, menjadi tanda tanya menjelang mesyuarat pemilihan pemanah acara itu bersama Program Podium esok apabila dia dikhabarkan tidak berminat untuk meneruskan tugas di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Zaki ditawarkan peranan membimbing pemanah Persatuan Memanah Negeri Kedah untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Perak, tahun depan.

Dia mengendalikan skuad compound negara pada awal tahun ini sehingga meraih tiga pingat emas, satu perak dan gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Situasi itu meletakkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dalam dilema untuk mencari jurulatih berkaliber bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018.

"Mungkin kita akan mengetahui keputusan mengenai perkara ini pada penghujung tahun ini. Kami akan mengadakan mesyuarat dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN) esok dan mungkin memanah akan dimasukkan dalam Program Podium.

"Tetapi, keputusan itu terpulang kepada ISN," ujar Setiausaha Kehormat NAAM, Datuk Abd Hamid Hassan.

Compound kembali dipertandingkan dalam Sukan Asia 2018 selepas Jawatankuasa Penganjuran Temasya (INASGOC) bersetuju dengan permintaan Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA).

Temasya pada Ogos itu itu menawarkan tiga emas compound, sekaligus melengkapkan lapan emas secara keseluruhan untuk memanah sementara Malaysia sah tidak dijemput untuk menyertai kejohanan ujian Sukan Asia, Februari depan.

"Kami tidak mendapat undangan, cuma kami yang menawarkan diri untuk mengikuti kejohanan ujian itu," kata ketua jurulatih, Lee Jae-hyung.