Sukan Asia: Siti Rahmah pulih rentak selepas pembedahan tangan 

Oleh Penulis Jemputan 22 Disember 2017 59
 Sukan Asia: Siti Rahmah pulih rentak selepas pembedahan tangan 
Kecederaan lengan kiri yang dialami srikandi silat negara, Siti Rahmah Nasir, kian pulih dan dia sudah bersedia untuk melakukan persiapan penuh menjelang Sukan Asia di Jakarta, Ogos depan. 

Tiada lagi kebimbangan buat pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu terhadap lengan kirinya yang selesai menjalani pembedahan bulan lalu apabila mula menunjukkan tanda positif untuk pulih sepenuhnya. 

Di saat skuad negara sedang mengikuti kem latihan di Cameron Highlands, Siti Rahmah pula dikecualikan bagi menjalani rawatan susulan di Institut Sukan Negara (ISN) selain hanya melakukan latihan kecergasan sebelum memulakan latihan penuh di gelanggang, bulan depan. 

Tahap kecergasannya ketika ini amat mustahak kerana Siti Rahmah enggan sebarang persiapan Sukan Asia -- misi utamanya pada 2018 -- terjejas.

"Bermacam dugaan menimpa saya tetapi Alhamdulilah proses pemulihan berjalan dengan biasa. 

"Saya akan kembali berlatih untuk mendapatkan kecergasan, kekuatan dan ketahanan bagi menghadapi Sukan Asia," katanya. 

Tiada apa lagi yang ingin diburu juara dunia tiga kali itu selain kegemilangan Sukan Asia yang masih belum dikecapinya. 

Menyedari ia bukan sesuatu yang mudah bersaing di Jakarta yang memiliki pesilat yang cukup licik, Siti Rahmah sentiasa bersedia kerana sudah beberapa kali berdepan situasi sedemikian jika membabitkan skuad Indonesia. 

"Situasi ini akan berlaku di mana-mana. 

"Saya sentiasa pasang niat bahawa Allah sentiasa ada. Sejauh mana mereka berbuat khianat sekalipun, asalkan kita berusaha sehabis mungkin, Insya-Allah kejayaan akan kita miliki kalau dah rezeki," tambahnya. 



 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen